KUALA LUMPUR 1 Jun: Sebuah blog mendedahkan kerajaan membayar RM2.4 juta untuk menganjurkan persembahan artis pop Korea pada sambutan Hari Belia Negara 2012 di Putrajaya baru-baru ini.
Jumlah itu sebahagian daripada bayaran tuntutan sebanyak RM15 juta yang dibuat Stadium First, syarikat yang diberi tanggungjawab untuk mengelolakan program tersebut.
Manakala kos untuk memanggil artis tempatan pula melibatkan RM1.8 juta, berdasarkan dokumen tuntutan perbelanjaan yang diperoleh blog terbabit.
Blog bernama anaksungaiderhaka.blogspot itu turut menyiarkan dokumen daripada syarikat berkenaan yang menuntut sebahagian bayaran berjumlah RM10,613,993 daripada jumlah keseluruhan kos.
Surat itu dialamatkan kepada Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Mohid Mohamed.
Media sebelum ini melaporkan perjanjian di tandatangani antara Stadium First dengan Majlis Belia Malaysia ( MBM ) bagi menyemarakkan acara yang berlangsung pada 23 hingga 27 Mei.
Dalam acara itu, dua kumpulan pop Korea, Dal Shabet dan Teen Pop, turut dipanggil membuat persembahan, yang kemudian mencetuskan kontroversi kerana dibenarkan berpakaian menjolok mata.
Sementara itu, Malaysiakini melaporkan Shabery sebagai berkata, bayaran untuk persembahan artis Korea itu ‘bukan isu’ sekiranya ia mendapat tajaan daripada pihak lain. Bagaimanapun, beliau tidak menamakan penaja terbabit.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=31071
0 komentar:
Posting Komentar